sarah`s blog

place to pour your fresh thoughts!

Hakikat sebuah H.U.J.A.H

with one comment

 

rahim_thamby_1new1              SYED HAMID ALBAR

Setelah menyaksikan rancangan hujah di tv9 baru-baru ini, yang menjemput dua orang personaliti politik – Datuk Syed Hamid Albar dan Tan Sri Rahim Thamby Chik, terdapat beberapa perkara yang boleh aku simpulkan di sini. Prof.Agus dari UKM telah melemparkan beberapa soalan ‘maut’ kepada dua orang tokoh politik tersebut. Memang menarik dan sangat menarik. Kepada pembaca yang budiman sekalian, harus di ingatkan penulisan aku ini tidak berniat untuk mencerca, tetapi sekadar suatu pandangan dari kaca mata ku.

Antara soalan yang di lemparkan adalah tentang isu hak asasi manusia, dengan spesifik, isu keganasan polis. Kes kematian Kugan misalannya, telah membuka mata rakyat Malaysia, betapa polis yang sepatutnya menjadi pelindung,tetapi mampu menjadi ‘penjenayah’. Jawapan Syed Hamid agak mengecewakan. Beliau berkata jika itu yang terjadi kita tidak seharusnya mengangkat penjenayah sebagai hero dan polis sebagai penjahat. Itu bukannya jawapan, itu adalah alas an untuk menunjukkan pasukan polis sebagai badan yang penuh bermaruah. Begitu juga dengan penahanan dua orang wartawan di bawah ISA atas alasan untuk menjaga keselamatan mereka. Prof Agus bertanya, apakah ISA ini relevan untuk menjadi pelindung? ( pelik ni) setelah berdolak dalik, akhirnya Datuk Syed Hamid menjelaskan menjaga keselamatan bukannya isu pokok yang membawa kepada penahanan mereka. Sedangkan media melaporkan sebaliknya. Tan Sri Rahim agak kurang menyerlah berbanding Datuk Syed Hamid. Jawapan beliau agak perlahan dan ada kalanya tergagap-gagap dan kurang spontan. Tetapi harus aku akui kedua-dua mereka mengakui suatu hakikat- UMNO perlukan perubahan.

Mereka gagal untuk mengakui bahawa rakyat menolak UMNO kerana berlaku korupsi secara besar-besaran ( dan bukannya satu dua kes seperti yang di sebut oleh Tan Sri Rahim) dan telah menjadi tradisi dalam UMNO sendiri. Hal ini juga di akui adun Bota sebelum beliau melompat ke UMNO kembali. UMNO pada asalnya parti yang ikhlas memperjuangkan nasib Melayu. Pada zaman dahulu, pemimpin-pemimpin UMNO terdiri daripada para pendidik, para intelek, golongan pekerja. Itu dulu, sekarang berbeza. UMNO terdiri daripada ahli bisnes. Siapa yang mahu membina empayar kekayaan di sarankan bersama UMNO kerana di dalamnya terdapat lubuk kekayaan. Asal mahu kaya, itu bisa, tetapi mesti menurut tradisi UMNO. Hal ini di akui oleh ramai orang.

Semasa aku menuntut di Melaka, aku pernah di datangi oleh beberapa pakcik di kedai kopi sambil menunggu bas. Mereka menyarankan aku menyertai Puteri UMNO jika mahu mendapat kerja kerana zaman ini agak susah bagi siswazah mendapat pekerjaan. Jadi adil jika aku mengatakan seseorang yang menyertai UMNO bukan lagi untuk membantu bangsa, tetapi untuk tujuan peribadi. Maaf, jika aku menyertai UMNO, itu kerana atas dasar prinsip bukannya untuk meraih kekayaan, inshaAllah. Ucapan Tan Sri Rahim seakan-akan mahu mengatakan sesiapa yang tidak menyokong UMNO, mereka tidak patriotik. Ini hujah lama, hujah lapuk. Nilai patriotisme tidak dapat di ukur dengan menyokong UMNO semata-mata. Idea beliau jelas menunjukkan beliau datang dari golongan ‘lama’. Isu Elizabeth Wong telah di perbesarkan oleh UMNO. Melihat kepada isu moral, aku kira wajarlah mencermin muka sebelum mengata orang lain. Perihal mantan menteri meraba punggung wanita di Havana club di tutup. Wajarkah? Aku berpendapat Datuk Chua Soi Lek lebih berprinsip kerana berani letak jawatan berikutan skandal seks beliau, tanpa di paksa untuk berundur. Pendapatku? Jika UMNO mahu di lihat bersih dan jujur, perlu adanya satu reformasi dalaman. Tak perlu sibuk untuk menyiasat hal lembu yang sangat remeh temeh. Siasat pemimpin UMNO itu sendiri. Jawab segala persoalan yang timbul di benak rakyat. Jawab samada Datuk Sri Najib itu benar-benar bersih dan tiada kena mengena dengan pembunuhan Altantuya. Jawab, siapakah yang di maksudkan oleh Inspektor Azilah dan Sirul yang memberitahu mereka di jadikan kambing hitam oleh seseorang yang tiada di mahkamah? Pimpinan UMNO perlu sedar dan bangkit dari mimpi-mimpi indah mereka. Kuasa politik mampu menjerat mereka jika mereka terus alpa. UMNO pada asalnya parti yang di asaskan oleh pemimpin yang jujur dan bersih telah menjadi sesuatu parti yang korup maka jelas kehilangan identity asal dan tersasar daripada landasan perjuangan mereka yang sebenarnya. Mereka harus berhenti memperkudakan system kehakiman, berhenti merompak kekayaan Negara, dan menjadi telus dalam perjuangan mereka. Sebagai golongan muda, aku sudah tidak mahu mendengar retorik perjuangan, tetapi mahu melihat tindakan mereka untuk mereformasikan UMNO.

Written by sara_myra

February 26, 2009 at 2:19 pm

One Response

Subscribe to comments with RSS.

  1. been so long since ur last posting.. :)

    what a write up..sharp and blunt…

    vanguard

    February 26, 2009 at 7:47 pm


Leave a Reply